Gambaran kemakmuran Malaysia adalah lubuk rezeki bagi mereka. Sebahagian besar kumpulan pekerja asing ini mengisi sektor pekerjaan yang dikatakan tidak diminati oleh penduduk setempat terutama bagi sektor pekerjaan yang ‘kotor, sukar dan bahaya.’ Sebahagiannya pula sudah memasuki sektor-sektor utama malah turut menjadi pesaing kepada rakyat tempatan sendiri.
Fenomena kemasukan migran ke negara-negara maju dan makmur berlaku di seluruh dunia. Persekitaran ekonomi yang perlahan di negara masing-masing merancakkan lagi aliran migran ini. Selagi negara sasaran dapat menjanjikan sesuatu yang boleh merubah nasib, kehidupan dan masa depan mereka selagi itu penghijrahan ini berlaku. Kumpulan pendatang ini tidak mempedulikan kesukaran hidup di ‘negara baharu’ kerana terlalu banyak peluang pekerjaan yang terhidang.
Laporan khas ‘Hamba abdi moden’ tulisan wartawan Utusan Malaysia, Saiful Haizan Hasam yang menceritakan perihal PATI rakyat Malaysia yang bekerja secara haram di ladang-ladang buah-buahan di Australia adalah satu contoh fenomena ini. Laporan berita itu sedikit mengejutkan kerana selama ini ramai yang beranggapan mereka masuk sebagai pekerja yang sah, menikmati pekerjaan yang menjanjikan gaji lumayan dan mampu memperbaiki kehidupan dan masa depan. Realiti daripada pendedahan itu sebaliknya menakutkan.
Mereka sebenarnya PATI. Sebelum ini istilah tersebut hanya diberikan kepada pekerja haram dari beberapa buah negara jiran dan negara-negara Asia Selatan, Asia Timur dan Asia Tengah yang bekerja di Malaysia. Pendedahan Saiful Haizan dalam beberapa siri laporan khas itu membuktikan rakyat Malaysia sendiri sudah menjadi PATI di negara orang. Bezanya, pekerja asing sama ada yang sah atau secara haram di Malaysia sebahagian besar hidup senang manakala sebahagian lagi hidup mewah sekembalinya ke negara masing-masing. Setiap bulan mereka mengirim ribuan ringgit menyeberangi lautan ke kampung halaman.
Walaupun hidup me­rantau, mereka tidak merempat. Ada sahaja pekerjaan yang menanti mereka. Paling kurangkan pun buruh binaan. Pada masa sama macam-macam kerja sambilan dilakukan. Amah, pemotong rumput, mengurut dan pelbagai lagi asalkan dapat memberi mereka wang ringgit. Pendek kata apa sahaja bidang pekerjaan yang rakyat tempatan tidak berminat, mereka sanggup mengisi kekosongan tersebut termasuk kerja-kerja yang salah di sisi agama dan undang-undang.
Berbeza dengan apa yang di­ceritakan oleh Saiful Haizan sewaktu menyamar sebagai pekerja haram di sebuah ladang buah-buahan itu, PATI rakyat Malaysia yang kebanyakan datang dari kawasan luar bandar, berpendidikan rendah dan sederhana, hidup dalam keadaan tertekan dan miskin. Mereka ditipu dan ditindas ejen sebaik sahaja menjejakkan kaki ke negara tersebut.
Kehidupan kumpulan ini tidak tenteram. Setiap detik dihantui ketakutan dan kebimbangan ditangkap pihak berkuasa. Mereka juga berjuang bersungguh-sungguh untuk hidup. Sesetengahnya diabaikan ejen seawal tiba di lapangan terbang lagi. Hidup merempat dan menjadi gelandangan di kota besar Melbourne. Ada juga yang dipenjara dan dihantar balik ke tanah air kerana melanggar peraturan imigresen negara tersebut.
Apa yang didedahkan itu sudah pasti membimbangkan kaum keluarga dan sanak saudara mereka di Malaysia. Walaupun mungkin tidak tepat 100 peratus tetapi pengalaman wartawan berkenaan menjadi pekerja tidak sah, bergaul dan mendengar rintihan rakyat Malaysia di ladang Cutri Fruit di Woorinen, Swan Hill, Victoria adalah realiti sebenar yang sedang berlaku. Selama ini ibu bapa, suami atau isteri tidak tahu kisah sebenar ketika membenarkan anak-anak dan pasangan masing-masing merantau demi mencari kehidupan yang lebih baik kerana ‘peluang besar’ pekerjaan yang kononnya terbuka luas menanti di ladang-ladang di negara berkenaan.
Apapun pendedahan tersebut sudah pasti membuka mata banyak pihak. Ibu bapa sudah pasti lebih berhati-hati jika anak-anak mereka menyuarakan hasrat untuk menjadi pemetik buah di Australia.
Ramai yang baru menamatkan alam persekolahan teruja mahu ke sana dek terpedaya dan terpengaruh dengan pelbagai iklan yang dipercayai disediakan oleh ejen-ejen. Ada beratus-ratus iklan sedemikian di internet. Kesemua iklan tersebut ‘indah-indah’ belaka.
Yang diceritakan adalah ke­seronokan hidup sebagai pemetik buah. Gaji bulanan yang lumayan, tempat tinggal dengan pelbagai kemudahan termasuk tempat beribadat, keseronokan hidup di negara empat musim dan pe­luang besar untuk memperoleh visa dan taraf penduduk tetap (PR). Foto-foto mata wang dolar Australia salah satu tarikannya.
Hakikat sebenar banyak yang tidak diceritakan. Ejen-ejen um­pama lintah darat yang mencekik darah, perahan tenaga, gaji yang tidak seberapa, kos sewa rumah dengan pelbagai potongan tidak masuk akal, keadaan tempat tinggal yang bersesak-sesak, diugut ejen serta sentiasa terdedah kepada operasi penguatkuasaan pendatang asing. Sebahagian PATI rakyat Malaysia yang sudah terperangkap terpaksa bertahan. Malu untuk balik ke tanah air kerana sudah berbelanja besar. Sesetengah pula berjanji dengan ibu bapa dan anak isteri untuk membawa ‘pulangan lumayan’ apabila kembali ke tanah air. Sesetengahnya berkeras mahu terus ‘bertahan’ hanya kerana mahu membayar hutang.
Kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memastikan kes-kes yang boleh disifatkan sebagai ‘pemerdagangan rakyat Malaysia’ ini daripada berterusan. Ejen-ejen bertanggungjawab memerdagangkan mereka perlu dikenakan tindakan keras. Khabarnya mereka adalah rakyat tempatan sendiri. Kempen-kempen kesedaran berhubung tawaran kerja palsu perlu diperhebatkan. Pada masa sama juga kerajaan perlu mengkaji mengapa trend ini berlaku.
Dalam keadaan negara aman dan makmur, ekonomi negara berkembang pesat dan hanya beberapa tahun sahaja lagi bakal menjengah ke era negara maju, janggal apabila mendengar ada dalam kalangan rakyat Malaysia menjadi PATI di negara orang.
Selama ini yang kita dengar adalah cerita-cerita rakyat Malaysia yang mencipta nama, kemasyhuran, kekayaan dan kehebatan di negara luar. Apakah ini manifestasi daripada kesukaran kumpulan berkenaan memperoleh pekerjaan dengan gaji yang berpatutan di tanah air sendiri kerana sebahagian besar sudah ‘dicuri’ oleh pekerja asing atau PATI selama ini?

Sumber: https://www.utusan.com.my/rencana/apabila-rakyat-kita-sudah-menjadi-pati-1.409345

Pendedahan wartawan Utusan menimbulkan kemarahan yang amat sangat di kalangan rakyat Malaysia yang berada di Australia. Facebook beliau telah diserang bertubi-tubi dengan maki hamun dan pelbagai ugutan kerana pendedahan beliau bukan sahaja kurang tepat malahan telah menyebabkan pihak berkuasa Australia mula mengadakan operasi pembersihan kepada rakyat Malaysia khasnya mereka yang tinggal melebihi tempoh dan tidak memiliki apa-apa jenis Visa yang dianggarkan mencecah 7 ribu orang.